ANTARA senjata api dirampas dalam kejadian berbalas tembak di Jalan Rawang-Batu Arang. FOTO SUPIAN AHMAD
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


AHLI keluarga kepada G Moganambal, 35, wanita pemegang status penduduk tetap (PR) United Kingdom (UK) yang didakwa hilang sejak Sabtu lalu akan membuat laporan polis berhubung kehilangannya, hari ini.

Kakaknya, G Vasanthi berkata, mereka termasuk anak Moganambal akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak termasuk menyalurkan maklumat mengenai lokasi terakhir wanita itu yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, kehilangannya mencetuskan misteri selepas dikejutkan berita bahawa suami Moganambal iaitu V Janarthan dan abang iparnya, G Thavaselvan bersama seorang kenalannya S Maghendran maut ditembak polis, Sabtu lalu.

“Semalam kami cuba membuat laporan mengenai kehilangan Moganambal di Balai Polis Bandar Country Homes, Rawang, namun dimaklumkan bahawa sistem rangkaian komputer mengalami masalah.

“Jadi, hari ini kami dipanggil ke IPD Gombak dan akan membuat laporan polis kehilangan Moganambal di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Vasanthi berkata, mereka sekeluarga masih menuntut penjelasan daripada pihak polis mengenai beberapa persoalan meragukan ketika insiden berbalas tembakan itu.

Katanya, mereka juga sepakat tidak akan menuntut mayat ahli keluarga masing-masing yang maut ditembak sehinggalah Moganambal ditemui.

Terdahulu, Sabtu lalu, polis menembak mati tiga individu dipercayai penjenayah selepas berbalas tembak di Jalan Rawang-Batu Arang, jam 5 pagi.

Dalam kejadian itu, polis menemui sepucuk pistol separa automatik jenis Sports Arms dan pistol automatik jenis Colt selain tiga bilah parang serta tiga topeng muka.

Semalam, ahli keluarga ketiga-tiga individu mendakwa polis melakukan kesilapan sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Mereka menuntut penjelasan termasuk kehilangan Moganambal selain dakwaan terdapat seorang lagi individu keempat ditembak polis mengalami kecederaan pada bahagian kaki, namun sempat melarikan diri ke hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 8:31 PM