Pembantu Farmasi Noor Hashima Sihab (kiri) menyusun penutup hidung dan mulut N95 di sebuah farmasi di Seri Manjung hari ini. FOTO Bernama
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


PENGGUNAAN penutup hidung dan mulut jenis N95 adalah paling berkesan dalam situasi jerebu berikutan ia dapat menapis partikel sehalus 0.1-0.3 mikron.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, saiz partikel yang terdapat dalam asap jerebu adalah kira-kira 2.5 mikron.

“Hampir 95 peratus partikel udara jerebu dapat ditapis N95 malah topeng itu boleh diulang pakai sehinggalah terdapat koyak, rosak atau kesan kotor.

“Sementara ‘surgical mask’ (topeng muka pembedahan) pula, masih boleh membantu melindungi pengguna walaupun dalam ‘limited protection’ (efisiensi yang lebih rendah).

“Ia dapat menghalang partikel besar zarah halus jerebu. ‘Surgical mask’ hanya dapat menapis 12 peratus partikel halus jerebu yang berukuran sekecil 2-3 mikron yang terampai di udara berbanding N95,” katanya hari ini.

Mengulas mengenai terdapat perdebatan di media sosial mengenai cara pemakaian ‘surgical mask’, Dr Khalid berkata, cara pemakaian yang betul perlu diikuti.

Pertikaian antara warganet berlaku apabila ada yang mempertahankan cara penggunaan bahagian dalam dan luar topeng berkenaan.

“Terdapat dua warna pada topeng itu. Selalunya, bahagian putih dipakai pada sisi dalam (bersentuhan dengan mulut) manakala sisi warna lain di bahagian luar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak turut bersetuju penggunaan N95 lebih sesuai untuk merawat jerebu.

“Sekarang terdapat segelintir memakai topeng kain terutamanya penunggang motosikal, ia tidak membantu.

“Kita bimbang berikutan zarah yang lebih halus boleh sampai ke bahagian organ dalaman seperti paru-paru yang boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 8:18 PM