AHMAD Dzaffir (tengah) menunjukkan barang rampasan dalam tangkapan dilakukan terhadap ahli geng pecah rumah pada 10 hingga 14 September lalu. FOTO ihsan polis.
Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menumpaskan satu geng pecah rumah serta curi kenderaan dengan penahanan 12 individu termasuk seorang wanita dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kajang dan Semenyih, pada 10 hingga 14 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sepanjang tempoh dua bulan lalu, sebanyak 13 kes pecah rumah dan melarikan kenderaan dilaporkan di daerah berkenaan.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani, mengumpul maklumat, mengesan serta menahan ahli kumpulan yang terbabit dengan jenayah berkenaan.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Kajang menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang terbabit dengan siasatan kes terbabit bersama barang rampasan di Taman Bangi Jaya, Semenyih pada 5.30 petang 10 September lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah membabitkan samun, pecah rumah, curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah selain ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya menahan 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 40-an bersama barang rampasan pada 11 hingga 14 September lalu.

“Semakan mendapati 10 daripada mereka mempunyai rekod jenayah membabitkan jenayah samun, pecah rumah, curi kenderaan dan dadah.

“Hasil ujian saringan dilakukan mendapati empat daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan ahli kumpulan itu membawa kepada rampasan wang berjumlah RM30,200 hasil kegiatan pecah rumah.

Menurutnya, selain itu, pihaknya merampas sembilan kenderaan, 20 telefon bimbit pelbagai jenis, tiga komputer riba dan satu set rim kereta.

“Kami percaya berjaya menyelesaikan satu kes curi, sembilan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di daerah ini bagi tempoh penghujung Julai hingga awal bulan lalu.

“Malah, kumpulan berkenaan dipercayai turut terbabit dengan kegiatan jenayah sama di daerah lain,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman sehingga hari ini dan akan disambung reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kes pecah rumah dan melarikan kenderaan dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan didapati berpunca daripada kelalaian mangsa yang tidak mengunci rumah dengan baik serta sikap ambil mudah atas keselamatan diri dan harta benda.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu terbabit dengan jenayah diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:30 PM