POLIS membawa suspek kes sindiket MyKad palsu dipercayai didalangi pegawai kanan JPN Pulau Pinang di Mahkamah Sesyen Georgetown. FOTO RAMDZAN MASIAM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


PASUKAN pembelaan kes enam individu terbabit dalam sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta MyKad secara tidak sah kepada warga asing mengemukakan bantahan untuk tidak memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, hari ini.

Peguam Mohd Hisham Mohd Nazir yang mewakili Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin memaklumkan kepada mahkamah untuk membantah permohonan itu ke Mahkamah Tinggi dan meminta kes dikekalkan di Mahkamah Sesyen.

Permohonan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Yusaini Amer Abdul Karim memohon kes enam individu itu didakwa di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu dilakukan Yusaini Amer ketika sebutan semula kes di hadapan Hakim Salha Hamazah dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 dan 27 September ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan barisan peguam bela yang mewakili enam tertuduh mengemukakan hujah masing-masing.

Terdahulu, peguam R S N Rayer yang mewakili tertuduh kedua, Datuk Lai Chin Wah memohon mahkamah membenarkan anak guamnya membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul, diludah dan dipaksa menandatangani dokumen tidak diketahui kandungannya ketika dalam tahanan polis.

Salha kemudian membenarkan permohonan peguam tertuduh.

Pada 12 September lalu, Mohd Faizul, Lai dan empat yang lain didakwa di dua mahkamah berasingan dengan 32 pertuduhan berhubung sindiket penjualan sijil kelahiran dan MyKad kepada warga asing.

Mohd Faizul, 34, didakwa dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 466 Kanun Keseksaan (empat pertuduhan), dan Peraturan 25 (1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dengan lima pertuduhan.

Selain Mohd Faizul dan Lai, empat lagi tertuduh adalah Loh Chan Cheong, 34, Chien Guan Chai, 36, Yap Cheng Wah, 44, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 56.

Mohd Faizul didakwa membuat dan memalsukan kad pengenalan dan sijil kelahiran atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu, selain mengeluarkan kad pengenalan atas nama Lim Hock Eng, Yang Xiaohong, dan Pheh Jin Leong yang semuanya adalah warga China.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sejak 20 September 2018 sehingga 3 Mei lalu di JPN Pulau Pinang, Bangunan Persekutuan di Jalan Anson, Georgetown.

Sementara itu, Chan Cheong, Chin Wah, Cheng Wah, Guan Chai, dan Mohd Faizal didakwa kerana menjual kad pengenalan dan sijil kelahiran atas nama Ewe Chor Beng, antara 1 Mac hingga 31 Mac lalu, di mana mereka didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Chin Wah, Chan Cheong, Guan Chai, dan Cheng Wah, turut didakwa bersubahat dengan Mohd Faizul memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng pada 1 Januari hingga 31 Januari lalu, di JPN Pulau Pinang.

Guan Chai juga didakwa bersubahat dengan Mohd Faizul memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Tan Xiu Xiu, antara April dan Mei lalu, di JPN Pulau Pinang.

Bagi semua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:21 PM