Keadaan paras air yang menyusut di Empangan Durian Tunggal ketika tinjauan pada Sabtu lalu. Foto Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


KAPASITI air di dua kolam takungan air di Durian Tunggal di Melaka didakwa berada pada tahap sangat kritikal yang menyaksikannya hampir kering sehingga menampakkan dasar kolam berkenaan.

Ketua Pembangkang yang juga bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata, kolam yang berkenaan dianggarkan mampu menampung lebih 12,000 juta liter air sebaliknya hampir tandus.

“Sejak beberapa hari lalu, kolam ini semakin kering dan hari ini saya anggarkan kapasitinya cuma tinggal kira-kira lima peratus saja kerana sudah menampakkan dasar dan rekahan di bahagian tebing.

“Apakah ini yang dikatakan tidak berlaku krisis air, sedangkan kolam ini mampu membekalkan air kepada lebih separuh penduduk di bandar Melaka dan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan air di dua kolam berkenaan di Durian Tunggal hari ini.

Ketua Menteri Adly Zahari dalam kenyataannya hari ini dilaporkan berkata, Melaka mengalami penurunan sebanyak 13.9 peratus bekalan air terawat yang menjadi punca kepada gangguan bekalan air di beberapa kawasan baru-baru ini.

Beliau dipetik berkata, jumlah permintaan serta penggunaan semasa air di negeri itu adalah pada 639 juta liter sehari, bagaimanapun hanya 550 juta liter air terawat sehari dapat dibekalkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) disebabkan takungan air di empangan dan taburan hujan yang rendah.

Jelasnya, kapasiti semasa takungan air di Empangan Jus ketika ini adalah sebanyak 19,315 juta liter (kapasiti penuh 45,000 juta liter), Empangan Durian Tunggal, 6,620 juta liter (32,600 juta liter) dan Empangan Asahan, 225 juta liter berbanding kapasiti penuh 700 juta liter.

Mengulas lanjut, Idris berkata, kerajaan negeri sepatutnya menjelaskan situasi sebenar secara telus kepada rakyat dan bukannya menyembunyi sesuatu.

“Saya hairan sampaikan kolam takungan sampai sudah kering begini pun, kerajaan negeri masih mengatakan masalah air tidak kritikal.

“Tolonglah jelaskan pada rakyat situasi sebenar dan bukannya beranggapan keperluan asas air ini sebagai isu politik,” katanya.

Isu kekurangan bekalan air di negeri itu didakwa penduduk bermula sejak 8 September yang menyaksikan beberapa lokasi terputus bekalan air bersih selain air bertekanan rendah di sesetengah kawasan.

Keadaan itu dikatakan berpunca daripada kemerosotan air di empangan kolam tadahan dan Sungai Melaka akibat daripada purata hujan yang rendah.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut menegaskan tiada sebarang pelan catuan air diaktifkan di negeri itu, sebaliknya ia adalah hanya gangguan bekalan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:43 PM