HARSONO diiringi polis selepas mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan samun, rogol, cabul dan menyamar polis. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


PEMANDU lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuantan atas 12 pertuduhan membabitkan kes rogol, cabul, menyamar polis dan samun sejak Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Harsono Bakri, 27, membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah dan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Harsono didakwa dengan tujuh pertuduhan samun dan masing-masing satu dengan pertuduhan rogol, cabul dan menyamar polis.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa dengan pertuduhan menyamar polis dan cabul.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu pada Jun hingga Ogos lalu di beberapa lokasi sekitar daerah ini membabitkan wanita berusia lingkungan 20-an.

Pertuduhan samun dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Manakala pertuduhan rogol dibuat mengikut Seksyen 376 (2)(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun penjara serta boleh dikenakan sebatan.

Bagi kes cabul, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dengan peruntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana mana daripada dua hukuman itu manakala menyamar polis mengikut Seksyen 170 kanun sama dengan peruntukan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan di Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwaraya (TPR) Wan Azreen Wan Zaid manakala di Mahkamah Sesyen dikendalikan TPR Haryati Abdullah dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Harsono dalam rayuannya memaklumkan menaggung seorang ibu yang cacat, seorang isteri dan dua anak.

Tertuduh kemudian dibenarkan ikat jamin RM71,000 bagi semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen sementara Mahkamah Majistret tidak menawarkan sebarang jaminan.

Mahkamah Sesyen dan Majistret kemudian menetapkan 17 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 2:44 PM