PEMANDANGAN berjerebu di Pekan Nilai dengan bacaan IPU 210 pada 9 pagi. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


NILAI masih menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat hari ini, meskipun bacaannya sedikit menurun dari 212 tengah malam tadi ke 207 pada 11 pagi ini.

Bacaan IPU di Port Dickson pula sudah menunjukkan penurunan daripada sangat tidak sihat kepada tidak sihat sejak petang semalam, manakala di Seremban IPU masih tidak sihat dengan bacaan 173 pada jam 11 pagi.

Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memaklumkan, 53 sekolah membabitkan seramai 28,073 murid dan pelajar di Nilai dan Mantin ditutup hari ini, susulan bacaan IPU terus berada pada paras sangat tidak sihat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri SembilanDatuk Pkharuddin Ghazali berkata, bagi sekolah di kawasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Port Dickson yang ditutup semalam sudah mula beroperasi hari ini.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid serta guru sepanjang masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut menangguhkan semua sesi pembelajaran hari ini akibat masalah jerebu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan berkata, terdapat tiga jenis penyakit berkaitan jerebu yang dipantau iaitu jangkitan mata (Conjunctivitis), jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan asma di fasiliti kesihatan sentinel.

“Di Klinik Kesihatan Nilai, bilangan kes jangkitan mata (Conjunctivitis), yang dilaporkan pada 8-14 September 2019ketika tahap kualiti udara tidak sihat, menunjukkan peningkatan 33.3 peratus berbanding dengan 1-7 September 2019ketika tahap kualiti udara sederhana.

“Bagi kes URTI pula, bilangan kes yang dilaporkan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 28.5%. Bagaimanapun, pemantauan kes asma tidak menunjukkan sebarang peningkatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 12:54 PM