Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


LELAKI yang disyaki membunuh rakannya kerana menuntut hutang ditahan polis dalam serbuan di kondominium di Bayan Lepas, hari ini.

Lelaki berusia 35 tahun terbabit ditahan pada 3.45 pagi dan dia turut mengaku ahli kumpulan Geng 221 yang berkuasa di kawasan Bukit Jambul.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, hasil siasatan awal suspek mengaku membunuh mangsa dan dia akan direman, hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan dia turut mempunyai lapan rekod lampau masing-masing enam bersabit kes dadah dan dua kes jenayah.

“Polis turut merampas topi, seluar jeans, sepasang kasut, beg hitam, baju-T merah dan sebuah telefon bimbit milik suspek,” katanya.

Dalam kejadian 11.20 malam, Isnin lalu, lelaki berusia 31 tahun maut selepas ditikam rakannya berhampiran menara jam hadapan Kompleks Bukit Jambul, Georgetown.

Mangsa dikatakan mahu menuntut hutang daripada suspek namun berlaku pertengkaran antara mereka hingga dia ditikam di dada kanan dan rebah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Suspek kemudian mencampak pisau yang digunakan ketika menikam mangsa berhampiran sebuah restoran kira-kira 70 meter dari tempat kejadian.

Semakan melalui kamera litar tertutup mendapati suspek yang berbaju merah menikam mangsa dan terus melarikan diri.

Berita berkaitan:

  • Dibunuh kerana tuntut hutang [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 11:01 AM