PEMANDANGAN berjerebu di Pekan Nilai dengan kadar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan sebanyak 210 iaitu pada tahap sangat tidak sihat sehingga 9 pagi. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai menangguhkan semua sesi pembelajaran hari ini berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu yang masih berada pada tahap sangat tidak sihat.

Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam satu kenyataan memaklumkan indeks pencemaran udara (IPU) sehingga 9 pagi tadi menunjukkan bacaan 210.

Pengurusan USIM turut memutuskan jika bacaan IPU terus melebihi 200, sesi pengkuliahan di kampus induk di Nilai dan kampus satelit di Pandan Indah, Selangor yang menempatkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Fakulti Pergigian akan terus ditangguhkan,” katanya.

Menurut kenyataan, pengurusan universiti menasihatkan semua kakitangan dan pelajar mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang gangguan kesihatan akibat jerebu.

Katanya, kakitangan dan pelajar perlu mengurangkan aktiviti luar, memakai penutup hidung dan mulut serta mengambil air minuman yang mencukupi.

“Makluman dari masa ke semasa berkaitan jerebu akan dihebahkan di media sosial rasmi universiti untuk makluman seluruh warga kampus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 10:46 AM