Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itu yang dapat digambarkan tindakan berani seorang wanita yang melakukan kegiatan mencuri pakaian di beberapa premis beli-belah di Kota Kinabalu, sebelum ditahan polis pada Ahad lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 5 petang, wanita berusia 29 tahun itu dipercayai menyembunyikan beberapa pakaian yang dicurinya sebelum cuba keluar dari premis berkenaan.

Bagaimanapun, penggera keselamatan premis berkenaan berbunyi ketika wanita itu keluar dan hasil pemeriksaan menemui beberapa helai pakaian dipercayai dicuri dari premis berkenaan.

Sehubungan itu, pekerja premis terpaksa menyerahkan wanita itu kepada pengawal keselamatan sebelum laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu yang juga pengawal keselamatan di pusat beli-belah berkenaan.

“Suspek ditahan kerana dipercayai melakukan kegiatan mencuri selepas penggera keselamatan berbunyi ketika keluar dari premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut melakukan kegiatan mencuri di tiga lagi premis berlainan yang menjual pakaian yang terletak dalam pusat beli-belah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, tangkapan itu membawa kepada rampasan sebanyak 16 helai baju dan 28 seluar dipercayai dicuri dari empat premis berlainan di pusat beli-belah berkenaan.

“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM 1,618.20 dan hasil siasatan mendapati, motif suspek mencuri pelbagai jenis pakaian adalah untuk dijual semula kepada pembeli di kawasan kediamannya di Sepanggar,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:52 AM