GAMBAR pada 17 September menunjukkan nelayan mengendalikan bot dalam keadaan berjerebu di Pengkalan Nelayan Bagan Pinang, Port Dickson. FOTO Iqmal Haqim Rosman
BERNAMA

KEADAAN jerebu yang berterusan di Port Dickson sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan apabila orang ramai mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan aktiviti di luar rumah termasuk membeli makanan di luar.

Tinjauan BERNAMA di beberapa lokasi perniagaan seperti gerai makanan dan cenderahati di Teluk Kemang mendapati tidak ramai yang mengunjungi kawasan berkenaan, malah gerai-gerai banyak ditutup berikutan kebanyakan orang memilih untuk tinggal di rumah.

Seorang pemilik kedai pakaian Johan Sani, 69, berkata, jerebu yang melanda daerah ini agak menjejaskan perniagaannya kerana tidak ramai pengunjung yang datang membeli pakaian di kedai miliknya berbanding pada waktu-waktu sebelum ini.

Katanya, sebelum fenomena jerebu melanda, dia meraih pendapatan sekitar RM300 sehingga RM400 sehari, namun kini hanya memperoleh puluhan ringgit sahaja.

“Sejak jerebu kebelakangan ini, hasil pencarian saya sangat merudum disebabkan orang ramai tidak berkunjung ke kedai, kalau diikutkan pada hari bekerja juga ramai pengunjung yang hadir tetapi kali ini tidak lagi dengan keadaan cuaca yang sebegini,” katanya kepada BERNAMA di Port Dickson.

Sementara itu, peniaga makanan Fazlina Hanif, 38, berkata perniagaannya terjejas kira-kira 60 peratus akibat jerebu yang melanda sejak awal bulan ini.

“Selalunya saya mendapat keuntungan RM2,000 untuk satu hari tetapi kebelakangan ini hanya meraih keuntungan bawah RM1,000, ini keuntungan yang paling teruk pernah saya alami sepanjang tahun ini,” katanya.

Seorang lagi peniaga makanan Amirah Zainal, 31, dia melihat keadaan jerebu pada kali ini lebih teruk berbanding tahun lalu kerana pada masa itu masih ada pengunjung yang datang makan di gerainya.

“Kalau keadaan ini terus berlarutan, ia akan menjejaskan pendapatan peniaga di kawasan ini, kemungkinan juga semakin hari tiada pengunjung yang akan datang melawat kawasan ini akibat jerebu,” katanya.

Setakat 7 pagi ini, Port Dickson dan Seremban merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu masing-masing 163 dan 173 manakala Nilai merekodkan IPU sangat tidak sihat iaitu 211.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:30 AM