FOTO Hiasan
BERNAMA

KES enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang yang didakwa mengeluar dan menjual dokumen pengenalan diri kepada warga asing akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini.

BERNAMA difahamkan pada prosiding hari ini yang dijadualkan bermula pada 2.30 petang, pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah itu untuk kes berkenaan didengar di Mahkamah Tinggi.

Pada 12 September lepas, kesemua mereka yang berumur antara 34 dan 66 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin, 34, Datuk Lai Chin Wah, 56, Loh Chan Cheong, 34, Chien Guan Chai, 36, Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, masing-masing didakwa antara dua dan tiga pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 antara bulan Januari hingga Mac 2019.

Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran, manakala lima yang lain masing-masing dituduh menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama individu yang sama.

Lima daripada mereka kecuali Mohd Faizal Tan turut masing-masing didakwa antara dua dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama beberapa individu antara Januari dan Mei 2019.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang itu juga dituduh atas lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan atas nama beberapa individu antara 20 Sept 2018 dan 3 Mei 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:22 AM