GAMBAR fail pada 17 September menunjukkan antara sekolah ditutup di Manjung akibat IPu melebihi 200. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
BERNAMA

SEBANYAK 265 sekolah lagi di daerah Manjung, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Perak Tengah ditutup pagi ini, menjadikan keseluruhan 288 sekolah ditutup di Perak.

Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, kesemua sekolah itu ditutup hari ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencecah 202 pada 5 pagi tadi, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

“Penambahan sebanyak 265 sekolah hari ini dibuat berdasarkan bacaan IPU di stesen Seri Manjung.

“Seri Manjung hari ini mencatatkan trend bacaan IPU yang meningkat sejak 3 pagi tadi iaitu 206 namun ia berkurangan kepada 197 setakat 7 pagi ini,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

Semalam, sebanyak 23 sekolah di daerah Manjung dan Hilir Perak ditutup berikutan bacaan IPU mencapai tahap tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 8:54 AM