AMDAN menunjukkan surat pengesahan perubatan pakar hospital sebagai bukti yang melayakkan dirinya untuk memohon pencen Ilat daripada PERKESO. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib juruteknik dari Kampung Perit, Chuping, yang sakit tulang belakang (slipped disc), sekali gus tidak dapat menyara keluarganya dengan sempurna sejak dua tahun lalu.

Malah lebih menggusarkan Amdan Bakar, 49, apabila disahkan tidak layak untuk menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meskipun pemeriksaan perubatan mengesahkan sebaliknya berhubung status kelayakannya.

Sejak 2017, dia sekeluarga berjimat cermat dan menyara keluarga dengan baki simpanan gaji sewaktu bekerja di kilang simen di Bukit Keteri, di samping isterinya mengambil upah menjahit pakaian dengan hasil pendapatan sekitar RM350 sebulan.

“Kesakitan ini bermula pada 2016. Selepas melakukan pembedahan, saya tidak boleh melakukan sebarang aktiviti atau pekerjaan lasak, selain tidak mampu berdiri lama dan berjalan di atas permukaan yang tidak rata.

“Saya mengambil keputusan berhenti kerja pada Mac 2017 kerana sering mengambil cuti kecemasan disebabkan sentiasa berulang-alik ke klinik mahupun hospital.

“Ketika mendapatkan rawatan, pakar ada menasihati saya memohon pencen ilat namun selepas memohon dan dipanggil menghadiri temuduga lain pula jadinya,” kata bapa dua orang anak itu ketika dikunjungi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Padang Besar, Ahmad Soffi Abdul Manah baru-baru ini.

Menurutnya, sepanjang menerima rawatan di hospital sejak empat tahun lalu, pakar perubatan menasihatinya untuk tidak bekerja dalam satu tempoh kerana keadaan tulang yang dilihat masih belum sembuh.

“Pihak hospital tidak berani memberi jaminan untuk pulih seperti sediakala dan mereka juga yang sarankan saya memohon bantuan di Perkeso.

“Malah sampai ke hari ini, keadaan saya seolah-olah tidak normal kerana tidak mampu berdiri, berbaring atau duduk untuk tempoh yang lama. Jika tidur pun, setiap 20 minit saya terjaga untuk mengubah posisi tidur yang bersesuaian,” katanya yang tidak pernah memohon sebarang bantuan daripada mana-mana badan kebajikan dalam negeri.

Bagaimanapun, dia mampu menarik nafas lega apabila dia kini tidak menanggung hutang, namun masih buntu memikirkan cara untuk memperoleh pendapatan dengan keadaan dirinya itu.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Perlis, Basharudin Khalid ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti semula kelayakan permohonan yang sudah dihantar oleh Amdan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:00 AM