Anwar (tengah) bergambar dengan peserta pada sesi DNA23 di UMS. FOTO Malai Rosmah Tuah
Mohd Izham Unnip Abdullah
am@hmetro.com.my


PENGERUSI Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kadar sebenar kemiskinan di negara ini mungkin lebih tinggi berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.

Beliau berkata, ia berdasarkan situasi kemiskinan yang boleh dikesan hampir di setiap kampung seluruh negara termasuk di kawasan bandar yang majoriti penduduknya masyarakat Cina.

Katanya, pandangan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof Philip Alston yang mengatakan kadar rasmi itu tidak menggambarkan keadaan sebenar adalah tepat.

“Tidak ada kampung (di negara ini) tiada orang miskin, maknanya kadang-kadang kadarnya mungkin lima peratus atau 10 peratus, malah kawasan bandar yang majoriti penduduknya orang Cina juga ada miskin.

“Jadi pandangan (Prof Alston) itu tepat. Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, kita bincang laporan itu.

“Pakar ekonomi Malaysia, Prof Jomo Kwame Sundaram, saya minta ulas, beliau kata tak payah bincang pasal B40, sepatutnya B70,” katanya pada Dialog Digital Native Agenda (DNA23) The Challenges And Way Forward di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kota Kinabalu hari ini.

Anwar mengulas mengenai pendapat Prof Alston berdasarkan kajian beliau baru-baru ini yang mengatakan kadar kemiskinan sebenar Malaysia adalah 15 peratus.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Port Dickson berkata, sehubungan itu pihaknya meminta kerajaan supaya mengkaji semula kadar kemiskinan berkenaan.

“Diagnosis sakit jantung tapi potong kaki, diagnosis itu tidak betul. Jadi, diagnosis mesti tepat supaya ubat yang diberi betul,” katanya.

Beliau turut mengakui, kerajaan termasuk ketika era Barisan Nasional (BN) ada melaksanakan program membasmi kemiskinan, namun wujud kelemahan besar.

“RM26 bilion hingga RM28 bilion setahun disalurkan untuk bantu orang miskin tapi yang bocor banyak. Yang bukan nelayan pun dapat bantuan nelayan, sedangkan sepatutnya bantuan harus sampai kepada golongan sasar.

“Soalnya sekarang ialah kenal pasti pelaksanaan, jangan lagi ada rasuah dan masalah ketirisan,” katanya.

Mengenai pelaksanaan inisiatif DNA23, beliau berkata, pihaknya yakin kerajaan akan mengatasi masalah liputan rangkaian Internet di seluruh negara yang kini membatasi penggunaan teknologi digital seperti ditekankan dalam inisiatif berkenaan.

Katanya, beliau mengakui ketika ini masih banyak jurang liputan Internet bukan saja di Sabah dan Sarawak malah turut berlaku di Semenanjung termasuk di Parlimen Port Dickson yang diwakilinya.

Beliau berkata, penggunaan aplikasi digital yang ditawarkan menerusi DNA23 mampu membantu rakyat susah khususnya dari segi pemasaran produk dihasilkan golongan berkenaan.

“Contohnya manik yang dihasilkan masyarakat Rungus dari Sabah kini ada dijual hingga ke luar negara melalui aplikasi digital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 12:12 AM