PELAJAR Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Kemaman menjuarai AAY 2019 menerusi ciptaan mereka CO2NCER. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


LIMA Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang mengambil bahagian dalam pertandingan Sentuhan Harapan-All About Youth 2019 (AAY 2019) anjuran Yayasan Petronas, bakal berentap sekali lagi untuk merebut Anugerah Chairman’s Circle (CCA).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman berkata, lima sekolah terbabit iaitu Sekolah Yayasan Imtiaz Kijal, Kemaman; SMK Tun Habab, Johor; SMK Tebobon, Sabah; SMK Riam, Sarawak dan SMK Teja Putra, Terengganu.

Menurutnya, sekolah yang berjaya mempersembahkan projek inovatif mereka akan menerima wang tunai RM30,000.

“Sebelum ini, lima SMK itu sudah bertanding dalam AAY 2019 di Melaka pada Ogos lalu dan ia dimenangi SMK Yayasan Imtiaz Kijal, Kemaman yang menerima RM20,000 untuk sekolah serta wang tunai RM1,000 setiap pelajar terbabit.

“Kelima-lima sekolah ini akan berentap sekali lagi untuk merebut CCA yang dijangka diadakan pada 3 Disember nanti,” katanya.

Beliau berkata, pasukan terbabit turut bersaing mempromosikan idea mereka di laman media sosial bagi meraih undian awam.

Menurutnya, menerusi tema ‘Reducing Carbon Emissions for a Better Future’ mereka perlu menghasilkan pelan perniagaan bagi prototaip projek masing-masing dalam tempoh 10 minggu.

“Pertandingan AAY 2019 yang dilaksanakan bagi menawarkan peluang kepada bakat muda untuk mempamerkan penyelesaian inovatif bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

“Menerusi AAY 2019, Yayasan Petronas berharap dapat memupuk pemikiran lateral, kreativiti dan kemahiran bekerjasama dalam kalangan pelajar bagi mengasah kebolehan mereka untuk menjadi pemimpin di masa depan.

“Pertandingan ini bermatlamat untuk memacu inovasi sosial dan menyokong sasaran kerajaan untuk mencapai nisbah 60:40 pengambilan jurusan STEM-Seni, selain aspirasi negara mengurangkan pelepasan karbon ke udara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 12:02 AM