AHLI PAS dan UMNO kelihatan sebak ketika mengaminkan doa selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu. FOTO Aizuddin Saad.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


UMNO Kelantan yakin kerjasama UMNO dan PAS akan memberikan rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan perjuangan penyatuan ummah berkenaan untuk mengembalikan kestabilan ekonomi, keharmonian dan kemakmuran negara.

“Itu adalah hak rakyat Malaysia yang mesti dikembalikan kerana kehadiran pemimpin dan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) dan meraikan kepelbagaian agama dan bangsa bukannya suatu ancaman kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memeterai perjanjian Piagam Muafakat Nasional bagi mempereratkan kerjasama antara kedua-dua parti.

Antara kandungannya ialah memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan mesyuarat membabitkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

Selain itu, piagam berkenaan mahu memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

Ahmad Jazlan berkata, sambutan diberikan amat luar biasa dan pengorbanan amat besar oleh dua parti yang dulu tidak seiring berjalan, tetapi kini erat, mesra dan mempunyai matlamat sama untuk perpaduan ummah.

“Semoga Allah SWT memberkati perjuangan ini dan memberi rahmat kepada Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 10:20 PM