KEADAAN di Putrajaya berjerebu dengan bacaan IPU 183 (tidak sihat) pada 10 pagi hari ini. FOTO AHmad Irham Mohd Noor.
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SEBANYAK 25 sekolah di Putrajaya yang ditutup hari ini susulan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, kembali beroperasi seperti biasa, esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, bacaan IPU stesen Putrajaya pada 6 petang hari ini menunjukkan di bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumlah 25 sekolah di Putrajaya itu membabitkan 11 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 14 Sekolah Kebangsaan (SK).

Berdasarkan bacaan dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 7 malam, tahap IPU di stesen Putrajaya menunjukkan 179.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:36 PM