HOSPITAL Bersalin Kuala Lumpur dipindahkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur hari ini. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan menjelaskan perkhidmatan bersalin di Hospital Bersalin Kuala Lumpur tidak ditutup tetapi dipindahkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (WCH) bermula hari ini.

Semalam, tular di media sosial apabila ada pengguna Facebook menyatakan hospital berkenaan yang banyak memberi kenangan manis kepada warga kota itu ditutup dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang mengimbau nostalgia mereka.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Hospital Bersalin Kuala Lumpur itu akan dibaiki untuk kesinambungan operasinya kelak.

“Penggunaan istilah ditutup tidak tepat kerana ia membayangkan tidak akan berkhidmat lagi. Kita baru melakukan kerja pemindahan semalam (16 September 2019) sebagai persediaannya.

“Sementara itu, kita gunakan dahulu perkhidmatan yang ada,” jelasnya ringkas menerusi Whatsapp kepada Harian Metro ketika diminta mengulas isu berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Hospital Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan sudah memaklumkan perpindahan di Hospital Bersalin Kuala Lumpur ke WCH.

“Dimaklumkan, semua perkhidmatan berkaitan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Peaditrik di Hospital Kanak-Kanak Kuala Lumpur mula beroperasi hari ini (17 September 2019),” menurut kenyataan itu.

Dalam satu status yang dimuat naik pengguna Facebook menyatakan, semalam adalah hari terakhir di Hospital Bersalin Kuala Lumpur beroperasi dan ia juga menamatkan perkhidmatan kepada seluruh warga Kuala Lumpur dan Malaysia selepas beroperasi selama 56 tahun.

Status itu turut menyatakan terima kasih kepada kakitangan hospital berkenan yang banyak berjasa kepada orang ramai dan di akhir kenyataan mengucapkan selamat datang ke WCH.


PETUGAS mengemas cadar di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:29 PM