LORI tangki air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Tanjung Bruas Port, Tanjong Kling. FOTO RASUL AZLI SAMAD
Fairuz Zaidan
am@hmetro.com.my


MELAKA tidak sampai ke tahap krisis bekalan air memandangkan tiada catuan air dilaksanakan kerajaan negeri buat masa ini.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abd Wahab berkata, meskipun paras air di Empangan Durian Tunggal yang juga empangan utama di negeri ini sudah melepasi tahap kritikal, bekalan air bersih masih dapat disalurkan kepada pengguna air di negeri ini.

“Bagaimanapun kita akui terdapat 12 tempat di Melaka Tengah dan tiga di Jasin terjejas akibat bekalan air yang sedang diatasi menerusi 14 lori tangki disalurkan daripada konsesi air dari Johor, Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu.

“Ini termasuk mengepam 40 juta galen air sehari di Sungai Gersik, Muar, Johor dan bekalan air pukal berjumlah 12 juta liter air sehari daripada kerajaan Negeri Sembilan melalui perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) yang dimeterai.

“Justeru, kita memberi jaminan Melaka tidak akan berdepan situasi kehabisan air berikutan kita mempunyai beberapa pelan kontigensi jangka masa pendek dan jangka panjang,” katanya pada sidang media di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Ketua Menteri, Adly Zahari dalam kenyataan ringkasnya dipetik sebagai berkata, kemerosotan air di empangan kolam tadahan dan Sungai Melaka berpunca akibat purata hujan yang rendah.

Ketika ini, katanya, paras air di Empangan Jus berada pada tahap 45 peratus iaitu 19,975 juta liter, manakala Empangan Durian Tunggal pula 25 peratus (7, 270 liter), sekali gus bekalan air yang ada mampu bertahan lebih sebulan lagi memandangkan kadar penggunaan air sekitar 600 juta liter sehari.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini empangan dan kolam tadahan hanya boleh mengeluarkan 550 juta liter sehari disebabkan tekanan air rendah menyebabkan ada kekurangan 50 juta liter sehari.

Mengulas lanjut, Mohd Sofi berkata, derita ditanggung ribuan penduduk yang mendakwa terputus bekalan air sejak awal bulan ini bukan satu ‘krisis’ dan hanya gangguan bekalan air bersifat sementara.

“SAMB juga perlu menambah baik sistem penyaluran notis pemakluman berhubung masalah gangguan bekalan air di kawasan penduduk yang terjejas,” katanya.

Mengenai kekurangan 50 juta liter air sehari, beliau berkata, buat masa ini ia bukanlah suatu kebimbangan memandangkan bekalan air di kawasan terjejas dapat diatasi melalui saluran lori tangki daripada konsesi air di beberapa negeri.

Mengulas komen bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mendakwa kerajaan negeri cuba menyembunyikan fakta sebenar berhubung ketiadaan bekalan air di Melaka ketika ini, Mohd Sofi berkata kerajaan negeri menyanjung apa sahaja pandangan pembangkang di negeri ini.

Dalam pada itu, katanya pembinaan Empangan Jernih di Alor Gajah dekat sini adalah antara usaha jangka panjang kerajaan persekutuan dan negeri bagi memastikan tiada masalah bekalan air di negeri ini pada masa akan datang.

“Mengikut Jabatan Meteorologi Melaka, perubahan angin monsun dijangka berlaku sekitar hujung bulan ini yang diharap dapat memberikan lebih banyak hujan di negeri ini seterusnya meningkatkan paras air di sungai, empangan serta kolam takungan air di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:22 PM