Tan selepas keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM1.5 juta terhadap ahli perniagaan atas tuduhan bersubahat dengan perlakuan salah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menerima suapan wang RM1 juta daripadanya, enam tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Datuk Tan Eng Boon, 71, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda itu esok.

Tan turut berdepan hukuman penjara setahun sekiranya gagal membayar denda yang diperintahkan.

Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Nazlan dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam selain hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat mengenai kesalahan rasuah.

“Kesalahan dilakukan ini serius dan memberi kesan terhadap perkembangan ekonomi dan sosial negara.

“Namun, mahkamah turut mengambil kira tindakan tertuduh yang menukar pengakuan, dapat menjimatkan masa mahkamah selain ini adalah kesalahan pertamanya,” katanya.

Mengikut pertuduhan pilihan, Tan didakwa bersubahat dengan perlakuan kesalahan Tengku Adnan, 69, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu menerima untuk dirinya wang RM1 juta daripada tertuduh melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Tertuduh diketahui sebagai pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) ada hubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada 27 Disember 2013.

Bagi pertuduhan itu, Tan yang juga seorang pemaju hartanah didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama seksyen 165 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala Tan diwakili peguam Faisal Moideen.

Pada 15 November 2018, Tan mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Prosiding hari ini sepatutnya adalah untuk pendengaran permohonan Tan bagi menangguhkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya bersama Tengku Adnan, selepas mahkamah sama pada 23 Ogos lalu menetapkan dua hari bermula 19 September untuk perbicaraan kes itu.

Sementara itu, Julia ketika ditemui media selepas prosiding memberitahu, perbicaraan kes rasuah membabitkan Tengku Adnan akan berjalan mengikut tarikh yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 4:16 PM