TEMU bual ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron ketika ditemui di Kampung Bukit Darat, Tanjong Kling. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


KERAJAAN negeri didakwa cuba menyembunyikan fakta sebenar berhubung ketiadaan bekalan air yang melanda Melaka ketika ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron berkata, ia adalah kerana krisis air yang berlaku sejak 8 September lalu ini sebenarnya adalah yang terburuk dalam sejarah pengurusan air negeri.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri berkata, dalam keadaan paras bekalan air di dua empangan yang cuma tinggal 25 dan 45 peratus, kerajaan sudah sepatutnya mengumumkan catuan air dan pelan kontigensi untuk membantu rakyat.

Tindakan Ketua Menteri Adly Zahari dan pemimpin kerajaan serta Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang terus berdiam diri sehingga kini berhubung isu itu katanya hanya memburukkan lagi sokongan rakyat terhadap mereka.

“Sepatutnya, mereka telah mengumumkan catuan dan menyediakan pelan kontigensi bagaimana untuk membantu rakyat yang sedang tertekan berdepan dengan krisis air hari ini.

“Dengan sikap EXCO dan Pengerusi SAMB yang berdiam diri saya yakin mereka (kerajaan negeri) sedang menyembunyikan beberapa fakta yang sebenarnya Melaka sedang berhadapan krisis air terburuk dalam sejarah pengurusan air negeri.

“Saya tahu kita ada empangan air di Jus, di Durian Tunggal dan kita ada beberapa empangan air di Machap dan sebagainya dan ini semuanya sekarang berada di bawah tahap kritikal. Itu pun mereka cuba menyembunyikan fakta mengatakan itu bukan empangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat beberapa buah rumah penduduk yang terputus bekalan air sejak 11 September lalu di Kampung Bukit Darat, Tanjong Kling, di Melaka, lewat malam tadi.

Adly dalam kenyataan ringkasnya sebelum ini berkata, kemerosotan air di empangan kolam tadahan dan Sungai Melaka berpunca daripada purata hujan yang rendah.

Ketika ini katanya, bekalan air di Empangan Jus berada pada tahap 45 peratus iaitu 19,975 juta liter, manakala Empangan Durian Tunggal pula 25 peratus (7, 270 liter)

Berdasarkan jumlah itu jelasnya, bekalan air yang ada mampu bertahan lebih sebulan lagi memandangkan kadar penggunaan air sekitar 600 juta liter sehari.

Bagaimanapun katanya, ketika ini empangan-empangan dan kolam-kolam tadahan hanya boleh mengeluarkan 550 juta liter sehari disebabkan tekanan air yang rendah menyebabkan ada kekurangan 50 juta liter sehari.

Adly masih menegaskan tiada sebarang pelan catuan air diaktifkan di negeri ini, sebaliknya hanya gangguan bekalan sementara.

Mengulas lanjut Idris berkata, taburan hujan yang rendah atau musim kemarau bukanlah alasan dan sesuatu yang baru berlaku di bawah kerajaan hari ini.

“Kemarau ini dulu pun berlaku dan ada cara untuk kita berhadapan dengan masalah ini dan saya yakin rakyat benar-benar tidak boleh menerima hakikat ini ditambah pula dalam keadaan cuaca yang berjerebu.

“Saya harap, semua pihak dapat memberikan perhatian serius terhadap isu yang sedang dihadapi ini dan bukannya menganggapnya sebagai agenda politik,” katanya.

Berita berkaitan

Terburuk dalam 25 tahun!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 2:53 PM