Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KERAJAAN melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meluaskan pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) ke JPJ Perak bagi nombor pendaftaran kenderaan siri ‘ALL’ bermula Khamis ini.

Siri yang bakal menjadi tarikan ramai untuk dibida itu akan dibuka selama lima hari berakhir jam 11.59 malam 23 September sebelum keputusannya diumumkan dalam tempoh 24 jam.

Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah berkata, pihaknya mensasarkan kutipan melebihi RM1 juta bagi siri ALL dengan jangkaan bidaan tertinggi adalah bagi nombor pendaftaran ALL 1, ALL 8 dan ALL 14.

Menurutnya, harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minima ditetapkan iaitu bagi nombor bernilai utama bermula RM20,000 dengan kenaikan bidaan minimum adalah RM1,000.

“Nombor menarik pula harga minimum bidaan adalah RM3,000 (kenaikan bidaan RM150), nombor popular RM800 (kenaikan bidaan RM40) dan nombor biasa RM300 (kenaikan bidaan RM15).

“Bayaran adalah menggunakan kad kredit dan debit tempatan sahaja dan pembida boleh membida seberapa banyak nombor pendaftaran dengan bayaran perkhidmatan RM10 (wajib) bagi setiap nombor dibida,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JPJ Perak, Ipoh, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah JPJ (Bahagian Pelesenan Kenderaan), Mohd Hafiz Shamsani Othman.

Menurutnya, sistem bidaan yang mesra pengguna boleh diakses secara atas talian menggunakan aplikasi JPJeBid atau melalui portal https://jpjebid.jpj.gov.my/ebid/.

“Bidaan ini terbuka kepada warga Malaysia dan penduduk tetap berusia 18 tahun ke atas serta syarikat yang berdaftar.

“Bagaimanapun orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod dalam sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki mendaftar di mana-mana pejabat JPJ Negeri dan Cawangan JPJ kecuali di Pusat Transformasi Bandar (UTC),” katanya.

Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, Perak adalah negeri kesembilan melaksanakan JPJeBid dengan ALL adalah siri ke 18 selepas siri terbaru di Kelantan (DDP) dan Pahang (CEE) yang dilaksanakan, baru-baru ini.

“Jumlah keseluruhan hasil dikutip melalui pelaksanaan JPJeBid ini adalah sebanyak RM21.2 juta bagi 17 siri yang dibuka di lapan negeri sebelum ini.

“Kutipan siri ‘FC’ (Putrajaya) mengutip hasil bidaan RM3.1 juta bagi 2,481 bilangan bidaan diikuti siri ‘VDV’ (Kuala Lumpur) dengan kutipan RM1.6 juta,” katanya.

Menurutnya, selepas ini JPJ akan melaksanakan JPJeBid ke lima lagi negeri iaitu Sarawak, Terengganu, Melaka, Selangor dan Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 2:36 PM
SEVERINUS (tengah) menunjukkan nombor bidaan atas talian bagi nombor pendaftaran kenderaan ALL di JPJ Perak, Ipoh. FOTO ABDULLAH YUSOF