NAJIB ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar
am@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini diberitahu bahawa projek penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu atau (TIA) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah projek ‘bayi’ Datuk Seri Najib Razak.

Saksi yang juga bekas pegawai khas, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, memberitahu demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding bicara kes skandal 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Amhari tidak menafikan bahawa ia bukan idea asal atau diilhamkan oleh Najib sendiri, sebaliknya mendakwa tidak mengetahui perkara itu.

SHAFEE: Kamu pernah katakan TIA atau 1MDB adalah projek ‘baby’ (bayi) Najib, apa maksud kamu bila buat kenyataan begitu?

AMHARI: Dari segi ‘baby’ ia adalah sesuatu yang dilahirkan atau diinspirasikan atau mempunyai kaitan yang kuat dengan sesuatu projek.

SHAFEE: Adakah ini bermaksud ia diilhamkan oleh beliau?

AMHARI: Tidak semestinya tetapi ia sesuatu yang dekat dengan seseorang.

SHAFEE: Ini yang kamu katakan ia adalah ‘baby’ Najib?

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Adakah maksudnya , TIA dan 1MDB adalah fikiran Najib?

AMHARI: Saya tidak tahu.

SHAFEE: Bila kamu kata ‘baby’ beliau? Apa maksud sebenar kamu?

AMHARI: Itu berdasarkan konteks ketika itu iaitu Najib dalam proses menjadi Perdana Menteri, ‘baby’ ini adalah sesuatu yang rapat dan penting yang perlu beliau bawa. Saya tahu ia ‘baby’ beliau tetapi tidak pasti sama ada ia idea beliau.

SHAFEE: Saya cadangkan bahawa ia adalah ilham dan cadangan Yang di-Pertuan Agong ke-13, (ketika itu) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan bukan tiada orang lain?

AMHARI: Saya tidak tahu.

SHAFEE: (merujuk kepada dokumen iaitu minit mesyuarat Kabinet bertarikh 12 Disember 2008, ketika itu Perdana Menteri adalah Tun Abdullah Ahmad Badawi) Dalam perutusan khas Perdana Menteri menyatakan bahawa selepas menghadap baginda pada tarikh yang sama, baginda bertitah cadangan penubuhan TIA dengan dana permulaan RM10 bilion bagi menjana ekonomi mapan dan berterusan bagi negeri itu bagi proses jangka masa panjang. Ini adalah pengumuman beliau, ini menunjukkan TIA adalah hasrat atau ilham dari Sultan Terengganu pada masa itu?

AMHARI: Ya benar.

SHAFEE: Ia bukan ilham kosong tetapi baginda mencadangkan RM5 bilion jaminan kerajaan Persekutuan adalah bersandarkan bayaran yang diterima Terengganu setiap tahun hasil pendapat petroleum?

AMHARI: Ya benar.

SHAFEE: Ketika itu Terengganu memperoleh RM1.5 bilion setiap tahun hasil pendapatan minyak?

AMHARI: Saya tahu ada terima tetapi tidak tahu banyak mana.

SHAFEE: Jika melihat kepada minit ini, baginda mahu TIA ditubuhkan dan memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa ia adalah cadangan yang baik bagi memastikan sumber pendapatan Terengganu mencukupi jika negeri itu habis sumber minyak dan gas, oleh itu kena buat pelaburan untuk jangka masa panjang? Ada banyak lagi sebab tetapi cukup sampai di sini dulu?

AMHARI: Ya, benar.

SHAFEE: Saya katakan kepada kamu bahawa kamu bukan sahaja dekat dengan Najib ketika itu Timbalan Perdana Menteri tetapi ada melihat kertas kabinet berhubung perkara ini, malah ada melihat berita disiarkan berhubung perkara ini. Jadi sekarang kami tahu ia ilham siapa?

AMHARI: Sekarang saya tahu.

Terdahulu, sebelum prosiding soal balas bermula, Amhari diminta mengenal pasti tujuh individu yang ada disebutnya ketika memberi keterangan di mahkamah.

Mereka adalah bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin; Datuk Wan Shihab Wan Ismail (seorang lagi bekas pegawai khas Najib), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas ketua pegawai eksekutfi 1MDB), Arul Kanda Kandasamy (juga bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB), Dennis See (bekas pegawai projek 1MDB), Azmi Tahir (bekas pegawai kewangan 1MDB) dan Riza Shahriz Abdul Aziz (anak Rosmah Mansor yang juga anak tiri Najib).

Mereka semua hadir dan dikenal pasti oleh Amhari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 1:11 PM