BURUH memakai penutup hidung dan mulut ketika melakukan kerja di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim.
BERNAMA

BERIKUTAN keadaan jerebu yang masih melanda Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Ketua Pengarah Kesihatannya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan beberapa langkah diambil.

Khususnya membabitkan penganjuran acara outdoor dengan aktiviti fizikal. Langkah disaran adalah:

1. Semua aktiviti keramaian atau sukan outdoor (di luar bangunan) perlu ditangguhkan apabila Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100 seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan 2019.

Ini kerana aktiviti fizikal lasak ketika jerebu akan meningkatkan risiko kesihatan. Ketika menjalankan aktiviti kadar pernafasan meningkat yang menyebabkan jumlah udara disedut bertambah, berbanding semasa rehat.

Bermakna, jumlah udara tercemar yang lebih banyak disedut masuk ke dalam sistem pernafasan.

2. Sekiranya acara berkenaan diteruskan oleh penganjur, peserta disaran menggunakan penutup hidung dan mulut semasa melakukan aktiviti. Bagaimanapun, penggunaannya tidak menjamin dapat mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

Selain itu, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan kesukaran untuk bernafas semasa aktiviti tersebut.

3. Orang ramai yang hadir untuk menonton acara tersebut dinasihatkan supaya memakai penutup hidung dan mulut serta memendekkan tempoh berada di luar bangunan.

Memilih untuk tidak berada di luar adalah lebih baik. Elakkan daripada membawa kanak-kanak bagi menonton acara sukan tersebut.

4. Orang ramai disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU (Indeks Pencemaran Udara) di lokaliti masing-masing dengan melayari portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/, serta mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.

5. Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata atau jangkitan paru-paru, adalah disaran untuk datang ke klinik bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Maklumat lanjut bagi langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu boleh didapati di laman sesawang KKM http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 11:56 AM