Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


SIMPANG RENGGAM: Semakin kritikal dan membimbangkan. Itu keadaan paras air di Empangan Machap dan air di Sungai Benut yang semakin surut.

Situasi itu dipercayai punca utama Bekalan Air Berjadual (BAB) terpaksa diteruskan sepanjang 36 jam bagi Zon A dan Zon B, di sini.

Proses BAB akan dilaksanakan sehingga keadaan air di dua punca utama itu kembali normal dan boleh menampung secara maksimum bekalan air kepada 149,550 pengguna.

Penduduk Kampung Ulu Benut, Rahmat Osman, 47, berkata, penutupan bekalan air selama 36 jam amat menyukarkan urusan harian penduduk.

Namun menurutnya, penduduk di kawasan itu terpaksa akur kerana ia langkah terbaik untuk mengatasi masalah kekurangan air berlaku di Empangan Machap dan Sungai Benut.

“Cuma penduduk mengharapkan bekalan air bersih turut disalurkan kepada penduduk yang tinggal agak jauh di pedalaman atau di kawasan kurang penduduknya,” katanya, semalam.

Rahmat berkata, pihaknya berterima kasih dengan keprihatinan Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) yang sentiasa memantau perjalanan BAB bagi memastikan semua pengguna tidak terjejas teruk khususnya mereka yang memerlukan bekalan air yang banyak terutama membabitkan majlis kenduri atau kematian.


PARAS air Sungai Benut susut menyebabkan LRA Simpang Renggam gagal membekalkan air bersih terawat secara maksimum.

Sementara itu, penduduk Kampung Kolam Air yang hanya mahu dikenali sebagai Isa, 75, berharap cadangan pembenihan awan oleh kerajaan negeri membuahkan hasil serta menyelesaikan masalah kekurangan air.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri perlu mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini kerana ia mungkin berulang pada masa akan datang apatah lagi penambahan jumlah penduduk sentiasa meningkat.

“Jika tidak diatasi bermula sekarang, kami bimbang masalah akan berlarutan atau lebih teruk hingga boleh menjadi bencana besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:40 AM