Gambar Hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 4 menahan lima warga Bangladesh yang mendarat di kawasan paya bakau di Pantai Kelanang, Banting hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk kampung berhubung pendaratan pendatang asing tanpa izin itu.

“Susulan maklumat itu tiga anggota ke lokasi dan mengesan kehadiran lima warga Bangladesh berkenaan.

“Berikutan itu anggota tambahan dihantar ke lokasi bagi mengesan dan membuat penggeledahan di sekitar paya bakau bagi mengesan saki baki warga asing lain tetapi tiada jejak dijumpai,” katanya.

Zulafendy berkata, semua warga Bangladesh berkenaan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan memasuki Malaysia menggunakan jalan tidak diwartakan.

“Semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut.

“Polis mengucapkan penghargaan kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat dan menyeru masyarakat supaya sama-sama berganding bahu bagi membanteras kemasukan warga asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 11:36 PM