Keadaan jerebu di beberapa kawasan di Selangor yang menunjukkan bacaan tidak sihat serta sangat tidak sihat hari ini. FOTO Khairul Helmy Mohd Din
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SEBANYAK 138 sekolah di Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling Perdana dan Klang akan ditutup esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan bacaan tidak sihat serta sangat tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataannya memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU sehingga 8 malam tadi.

Menurutnya, penutupan itu membabitkan 179,843 pelajar dan murid sekolah keseluruhannya.

“Penutupan itu membabitkan 23 sekolah di Sepang, 18 sekolah di Kuala Langat, 35 sekolah di Hulu Langat, 24 sekolah di Klang serta 38 sekolah di Petaling Perdana.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 11:09 PM