Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeriksa kawasan kebakaran di Kampung Padang Pohon Tanjong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


DUA beradik lelaki berusia 10 dan 11 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan terhadap siri kebakaran yang berlaku di Kampung Padang Pohon Tanjong, Wakaf Bharu, Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, penahanan dua beradik itu dibuat di rumah mereka tengah hari semalam dan ditahan reman dua hari bermula hari ini.

“Penahanan itu dibuat berikutan terdapat laporan polis yang dibuat penduduk kampung terhadap kejadian terdahulu.

“Kes masih dalam siasatan dan setakat ini masih belum ada pengakuan dibuat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam tular di Facebook dan WhatsApp mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun yang didakwa membakar rumahnya sendiri disebabkan teruja melihat orang ramai serta kehadiran jentera bomba.

Perkara itu menerima pelbagai reaksi warganet yang melihatnya ada kaitan dengan kejadian tiga kebakaran sebelum ini membabitkan lokasi sama.

Mengulas lanjut Mohd Razi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan khianat dengan api.

Akhbar sebelum ini melaporkan empat kejadian kebakaran berlaku di kampung itu dalam tempoh empat bulan dan terbaharu membabitkan rumah kanak-kanak itu sendiri pagi Sabtu lalu.

Tiga kejadian sebelum ini adalah seminggu sebelum Aidilfitri, dua hari sebelum Aidiladha dan pada 28 Ogos lalu menjadikan semuanya 11 unit rumah kediaman dan satu salun rambut.

Sebelum kejadian Sabtu lalu, berlaku dua cubaan membakar rumah membabitkan penduduk kampung itu pada malam Rabu lalu selang setengah jam namun sempat disedari penghuni.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 10:36 PM