Tun Dr Mahathir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Abang Johari dan Shafie Afdal pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Roji Kawi dan Garret Dawum dan Goh Pei Pei
am@hmetro.com.my


RAKYAT Malaysia harus menyedari tanggungjawab yang perlu dipikul untuk mempertahankan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat harus mengenang dan menghargai perjalanan berliku dan sukar dilalui mereka yang berjuang bagi mewujudkan negara ini, lebih lima dekad lalu.

Beliau berkata, jika rakyat sedar dan menghargai apa yang dilalui pejuang terdahulu, pasti tidak ada yang akan mengambil ringan perpaduan dan kerjasama antara rakyat.

“Malah kita akan bangkit mempertahankannya jika ada anasir yang mahu mengganggu gugat perpaduan yang sudah dijalin itu.

“Tanggungjawab untuk mempertahankan perpaduan di kalangan kita bukan hanya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Sabah dan Sarawak semata-mata tetapi tanggungjawab semua rakyat yang mengaku dirinya rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan di Petra Jaya malam ini.

Sambutan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ yang dihadiri lebih 7,000 orang itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, semangat perpaduan tetap mengalami pasang surutnya bergantung kepada keadaan dan suasana, namun ia tidak seharusnya melemahkan semangat untuk mengekalkannya.

Beliau berkata, terdapat usaha untuk melemahkan perpaduan rakyat dan menyedihkan apabila ia dilakukan rakyat Malaysia sendiri.

“Naratif yang diguna sering berkait dengan perkara emosional terutamanya membabitkan kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik.

“Amat mudah untuk kita terperangkap dengan isu ini kerana ia dekat di hati kita tetapi jika kita berjiwa besar, ada keyakinan diri dan berfikiran waras, kita tidak akan benarkan diri kita

dipengaruhi,” katanya.

Katanya, selepas lebih lima dekad rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersama sebagai keluarga besar dalam Malaysia, beliau yakin majoriti rakyat Malaysia menolak pemikiran sempit dan jumud itu sebaliknya akan terus bersama mempertahankan perpaduan yang terjalin.

Justeru katanya, setiap rakyat harus mengetahui betapa pentingnya perpaduan kerana menerusinya kestabilan akan terus dikecapi dalam negara ini.

“Kestabilan memberi kita ruang untuk mentadbir dan melaksanakan dasar dan program untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kestabilan juga akan meningkatkan aktiviti ekonomi dan ini akan menjana kekayaan yang akan kita kongsi bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 9:57 PM