Lokasi lelaki yang maut malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


LELAKI berusia 53 tahun maut selepas melarikan diri ketika dikejar polis akibat merakam gambar dari bawah skirt wanita di Jalan Telawi, Bangsar semalam.

Dalam kejadian 10.40 malam itu, lelaki berkenaan dikatakan mengambil gambar dari bawah skirt wanita berusia 24 tahun di sebuah restoran di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, mangsa yang menyedari tindakan lelaki itu kemudian melaporkan kejadian ke Balai Polis Bangsar yang terletak bersebelahan restoran itu.

“Mangsa menunjukkan lelaki itu kepada polis sebelum anggota polis cuba melakukan pemeriksaan dan meminta lelaki itu ke balai polis.

“Bagaimanapun lelaki terbabit melarikan diri ke arah lorong belakang restoran sebelum dikejar polis,” katanya.

Arifai berkata, ketika usaha menahannya, suspek bertindak agresif sehingga terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Anggota polis kemudian menghubungi hospital sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat lengkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:04 PM