Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


TINDAKAN pantas kanak-kanak perempuan melarikan diri menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa nafsu lelaki di sebuah kuarters kerajaan di Bukit Jalil Rabu lalu.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa berusia enam tahun dibawa lelaki masuk ke dalam lif dan naik ke tingkat atas sekali.

Menurutnya, lelaki itu cuba melakukan aksi tidak senonoh sebelum mangsa menolaknya dan terus berlari menyelamatkan diri.

“Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada keluarga sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan menerima laporan itu.

Menurutnya, pihaknya sudah merakam keterangan suspek bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 7:49 PM