GAMBAR Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


HANYA kerana perselisihan faham, seorang wanita dibelasah dengan tali pinggang, batang besi dan selipar getah oleh suaminya di kediaman mereka di Jinjang, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa berusia 32 tahun didatangi suaminya, 33, ketika di rumah dalam keadaan khayal dipercayai berada dalam pengaruh dadah lalu terus memukulnya.

Menurut sumber, suspek turut membelasah mangsa dengan tali pinggang, batang besi dan selipar getah menyebabkan wanita terbabit mengerang kesakitan.

“Selepas membelasah mangsa suspek terus beredar dan membiarkan isterinya dalam kesakitan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam di badan, kaki dan kepala,” katanya.

Bimbang kejadian sama berulang mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:57 PM