MILAH memakaikan Katik penutup hidung dan mulut. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

am@metro com.my

“MUNGKIN pelik namun saya terpaksa memakaikan penutup hidung dan mulut kerana Katik bersin kesan jerebu,” kata suri rumah, Milah Kassim, 50, yang memakaikan kucing kesayangan dengan penutup hidung dan mulut ketika bersiar-siar dengan motosikal.

Menurutnya, kucing jantan berusia setahun tujuh bulan itu kerap dibawa bersiar-siar menaiki motosikal sekitar bandar Jementah, Segamat dan lokasi perkampungan berhampiran.

“Namun jerebu teruk menyebabkan kesihatan Katik turut terjejas. Saya terpaksa memakaikan topeng hidung dan mulut sebelum dibawa bersiar menaiki motosikal.

“Kucing saya ini jinak dan tidak panik atau meloncat ketika dibawa menaiki motosikal. Riadah ini dilakukan sejak Katik berusia beberapa bulan lagi,” katanya ketika ditemui di bandar Jementah, semalam.

Menurutnya, kucing itu turut tidak aktif sejak jerebu melanda daerah ini.

“Anak perempuan saya, Misa Maisara Abdullah, 12, mencadangkan supaya kucing kami dipakaikan penutup muka ketika bagi mengelak kesihatannya lebih terjejas.

“Biasanya, saya akan membawa motosikal sementara Misa yang membonceng akan mendukung Katik di bahu ketika bersiar-siar,” katanya.

Katanya, selain Katik, dia turut memelihara tiga kucing lain dinamakan Iman, Sudin dan Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:36 PM