ROZALI ketika sidang media pada Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Penyerahan Watikah Pelantikan Datuk Bandar di Dewan Millenium, Kepala Batas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


BEBERAPA hadiah dan insentif bakal diperoleh penduduk Seberang Perai sempena pengisytiharan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Demikian kata Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud ketika ditemui media selepas Majlis Pengisytiharan MBSP dan Penyerahan Watikah Pelantikan Datuk Bandar di Kepala Batas, hari ini.

Rozali yang mula berkhidmat di MPSP pada Februari 1990 meluahkan rasa gembira dan syukur dengan pengiktirafan yang diberikan yang mana ia diperoleh melalui hasil kerjasama daripada penduduk Seberang Perai.

Berikutan itu, katanya, MBSP akan mengumumkan beberapa hadiah dan insentif yang bakal diperoleh penduduk Seberang Perai.

“Saya bagi pihak warga kerja MBSP ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua penduduk Seberang Perai yang sentiasa bekerjasama dalam semua program yang diadakan kerana tanpa kerjasama ini tidak mungkin kita mendapat taraf bandaraya.

“Oleh itu, saya akan mengumumkan beberapa hadiah atas pengisytiharan ini dan minta semuanya bersabar menunggu pengumuman dibuat,” katanya.

Ditanya mengenai apa kandungan hadiah dan insentif itu, Rozali berkata, pihaknya menetapkan 18 program dan enam garis panduan yang sudah pasti akan memberi kesan kepada rakyat hasil daripada naik taraf perbandaran kepada bandar raya.

“Insentif atau program yang akan kita adakan ini menepati kehendak rakyat kerana program ini hasil daripada sesi town hall dan perbincangan dengan rakyat.

“Jadi, saya pasti rakyat akan meminatinya kerana ia satu perubahan yang besar disamping mencapai hala tuju untuk menjadikan Seberang Perai sebuah bandar raya rendah karbon pada 2022 dan bebas karbon sepenuhnya pada 2050,” katanya.

Pertukaran status MPSP kepada MBSP dibuat sejurus mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis pengisytiharan dilakukan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Dengan pengisytiharan itu menjadikan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang kini berstatus bandar raya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau mahu PBT di Pulau Pinang menjadi contoh atau model kepada negeri-negeri lain.

“Pada masa sama, sudah tiba masanya projek pembangunan yang akan dibawa ke Pulau Pinang dapat dibangunkan di kawasan Seberang Perai manakala di Pulau pula dikurangkan demi keseimbangan kedua-dua bandaraya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:24 PM