FOTO hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


UMAT Islam perlu lebih bijak menilai isu halal bukan sekadar label, namun dilihat secara menyeluruh dari pelbagai sudut cara makanan itu disediakan.

Jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, isu pemilik restoran yang menggunakan tanda ‘serve no pork’ (tiada sajian khinzir) sebenarnya boleh mengelirukan masyarakat Islam tetapi bukan bidang kuasa pihaknya untuk mengambil tindakan.

Menurutnya, sebaliknya Kementerian Dalam Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap premis mengikut akta khusus kementerian berkenaan.

“Isu halal perlu dilihat secara lebih menyeluruh dan umat Islam dinasihatkan untuk membeli makanan daripada premis memperoleh pensijilan halal sah daripada JAKIM.

“Ini lebih memudahkan mereka daripada berada dalam keadaan was-was untuk makan makanan diberi daripada premis yang memaklumkan tidak menjual atau bahan berasaskan khinzir,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan ada pemilik premis tidak memohon sijil halal daripada JAKIM tetapi tidak bermakna mereka menjual makanan atau menggunakan bahan daripada sumber tidak halal.

Katanya, JAKIM dan jabatan agama Islam negeri mempunyai jawatankuasa membabitkan isu halal termasuk kerjasama dengan KPDNHEP.

Terdapat premis hanya mempamerkan ‘serve no pork’ atau ‘no pork’ (tiada kihnzir) untuk meyakinkan pelanggan khususnya umat Islam bahawa makanan dan bahan digunakan bukan daripada sumber tidak halal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:04 PM