KEADAAN di Muara Sungai Melaka, Banda Hilir yang mencatatkan IPU 125, 12 tengah hari tadi. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@bh.com.my


SEMUA 315 sekolah di Melaka akan beroperasi seperti biasa, esok susulan situasi jerebu yang direkodkan semakin baik di negeri itu, hari ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, berdasarkan laporan Indeks Pencemaran Udara (IPU), yang merekodkan bacaan kualiti udara semakin menurun, pihaknya memutuskan tiada keperluan bagi penutupan semua sekolah pada esok, setakat ini.

“Jika kita lihat bacaan IPU, sejak 12 tengah hari tadi, ia semakin menurun dan bertambah baik, jadi kemungkinan besar sekolah beroperasi seperti biasa esok,” katanya ketika dihubungi di Melaka, hari ini.

Bagaimanapun, pegawai pengurusan bencana di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing akan memaklumkan sama ada sekolah di daerah masing-masing ditutup atau diteruskan, mengikut keperluan.

“Pihak sekolah boleh merujuk kepada pegawai pengurusan bencana di setiap PPD berhubung keperluan (tutup atau terus operasi sekolah),” katanya.

Bacaan kualiti udara di stesen Bandaraya Melaka, hari ini mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 123, Alor Gajah 112 dan Bukit Rambai 118, setakat 2 petang tadi.

Semalam, Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 222 manakala tidak sihat masing-masing di Alor Gajah 165 dan Bukit Rambai 198, bagi tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 2:58 PM