GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


TERTARIK dengan tawaran pelaburan dengan satu syarikat di Hong Kong yang mampu memberi pulangan berganda menyebabkan seorang peniaga kerugian RM84,000 selepas terpedaya dengan sindiket berkenaan.

Menurut sumber, wanita berusia 54 tahun itu pada mulanya menyedari pelaburan berkenaan selepas melayari laman sosial Facebook (FB) Ogos lalu.

“Dia kemudian mendapat penerangan berkaitan pelaburan itu melalui seorang lelaki yang dikenali di FB.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu selepas dijanjikan pelaburan satu unit sebanyak 10,000 Dolar AS (RM41,680) akan menerima bayaran 900,000 Dolar AS (RM3.4 juta),” katanya.

Sumber berkata, wanita terbabit kemudian bersetuju membuat pelaburan dua unit dan membuat bayaran pertama RM42,000 di sebuah bank di Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur, pada 15 Ogos lalu.

“Selepas membuat bayaran, mangsa kemudian dihubungi suspek memberitahu pelaburannya sudah berjaya dan jika ingin menambah pelaburan lagi boleh membuat pemindahan wang.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, dia sekali lagi ke bank sama dan membuat pemindahan RM42,000 lagi ke akaun diberikan suspek,” katanya.

Sumber itu berkata, selepas itu mangsa kemudian bertanya bagaimana mahu mendapatkan semula wang pelaburan itu.

“Bagaimanapun suspek meminta RM200,000 lagi jika mahu wang pelaburannya menyebabkan mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu.

“Mangsa yang bimbang dan mahu mendapatkan semula wang kemudian membuat laporan di Balai Polis Cheras Khamis lalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Annas Sulaiman ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 2:55 PM