PENUNTUT UMK di samping karya mereka. FOTO Fathil Asri.
RAJA Kelana tekun menyiapkan mural berilhamkan wayang kulit. FOTO Fathil Asri.
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


MURAL bertemakan Warisan Kelantan bakal memenuhi kedai makan dan ruang istirehat TEMA Tunjong di Kota Bharu yang dibangunkan daripada lapan kabin.

Lebih menarik mural itu ilham 40 pelukis profesional, amatur dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang mula berkarya 14 September lalu.

Semua karya mereka juga dipertandingkan dalam acara yang dianjurkan Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan (PESTA).

Seorang daripada peserta, Amir Hamzah Mohammad, 22, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK), menyifatkan pertandingan mural itu sebagai pendedahan awal untuk bergelar pelukis berpengalaman.

Katanya, dia sepasukan dengan rakan sekuliah, Hdayatullah Hamzah, 24; Mohammad Asrul Sani Nordin; Mohammad Farhan Sapawi dan Mohammad Suhairi Miswan masing-masing berusia 22 tahun.

“Kami menyertai pertandingan ini atas galakan pensyarah dan tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti. Ini platform baik untuk kami menimba ilmu.

“Malah tahun lalu pun kami buat kerja amal melukis mural di dinding dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Tangok, Bachok,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Raja Kelana Nik Mod, 49, berkata, minatnya terhadap lukisan bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana sering membaca majalah Gila-Gila yang popular pada 1979.

Untuk itu dia tidak kisah berkongsi karyanya pada dinding kabin TEMA Tunjong.

Dalam pada itu, Setiausaha PESTA Ramli Hamzah, 51, berkata, penganjuran pertandingan itu mendapat kerjasama pemilik lokasi yang mahu wujudkan persekitaran kreatif di premis berkenaan.

“Kita menerima sambutan menggalakkan dalam acara ini yang akan berakhir pada 18 September. 40 peserta terbabit yang dibahagi kepada lapan kumpulan,” katanya.

Menurutnya, pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 diikuti naib johan RM600 dan tempat ketiga RM400, yang akan diumumkan pada 19 September.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 2:33 PM