HAJIJI (kiri) meninjau perarakan perahu nelayan sambil mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri pada sambutan Hari Malaysia anjuran masyarakat nelayan Kampung Mengkabong, Tuaran. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Izham Unnip Abdullah
am@hmetro.com.my


PERARAKAN perahu nelayan sambil mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri memeriahkan suasana sambutan Hari Malaysia anjuran masyarakat nelayan Kampung Mengkabong, Tuaran, pagi tadi.

Walaupun sederhana, program diadakan di jeti Buansa, Sungai Mengkabong, mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 100 perahu nelayan setempat mengambil bahagian.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor yang merasmikan sambutan itu berkata, ia satu cara warga kampung menterjemahkan kecintaan dan menzahirkan terima kasih kepada negara.

Katanya, inisiatif ditunjukkan warga kampung dan pihak lain yang mengambil bahagian dalam program berkenaan wajar dipuji dan dicontohi semua pihak sebagai tanda kecintaan terhadap negara.

“Ini kerana ia dapat menyatupadukan setiap orang dalam semangat kerjasama untuk menjayakan sambutan Hari Malaysia yang amat bermakna dan juga bukti sokongan atas nikmat perpaduan yang sudah lama dikecapi,” katanya.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Awang Yusuf Osman; Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tuaran, Rosman Awang; Pengerusi Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran, Roslan Abdullah dan pengerusi penganjur, Hayati Majat.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata beliau bangga dengan kesungguhan penduduk Kampung Mengkabong, lebih-lebih lagi dengan statusnya sebagai perkampungan nelayan tradisi di daerah ini.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana sambutan Hari Malaysia bukan hanya diraikan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah, malah di peringkat kampung.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat terus menyokong setiap usaha dilaksanakan kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan negara menjadi kenyataan selain menekankan kepentingan memelihara perpaduan.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira suku kaum, keturunan dan kepercayaan agama harus mengingati dan meraikan Hari Malaysia yang bersejarah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 2:31 PM