MOHD Rafiq (kiri) mengagihkan topeng muka kepada penunggang motosikal di stesen minyak di Krubong. FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


KERAJAAN negeri akan mengenakan hukuman tanpa amaran serta merta terhadap mana-mana individu atau pihak khususnya syarikat dan industri didapati melakukan pencemaran udara.

EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini berada pada tahap tidak sihat dan tidak seharusnya diburukkan lagi dengan pencemaran di kawasan sekitar.

Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan khususnya pihak industri yang mana akan terus dikenakan tindakan tanpa amaran.

“Kerajaan sentiasa memandang serius isu jerebu ini dan berharap mereka (pihak industri) juga peka dengan situasi semasa dengan tidak memburukkan lagi pencemaran udara.

“Saya akan pastikan sesiapa sahaja yang terbabit dikenakan hukuman sewajarnya tanpa sebarang kompromi,” katanya pada sidang media selepas mengagihkan penutup hidung dan mulut di sebuah stesen minyak di Krubong, Melaka, pagi tadi.

Pada program itu, sebanyak 500 penutup hidung dan mulut diagihkan kepada pengguna di stesen minyak berkenaan selain beberapa lokasi sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 2:09 PM