ZACRY mengurus abangnya, Md Shahrizal yang mengalami kecacatan fizikal akibat kemalangan jalan raya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


MASA remajanya tidak dinikmati sepenuhnya seperti rakan seusia lain, sebaliknya perlu menjadi tulang belakang menjaga kedua ibu bapa dan abang yang terlantar sakit.

Jika sebelum ini, Zackry Nizarman Othman, 21, menggalas tanggungjawab menguruskan tiga ahli keluarganya sebelum ibunya, Fatimah Ismail, 63, meninggal dunia tahun lalu akibat kanser hidung disusuli bapanya, Othman Deraman, 69, Jun lalu disebabkan buah pinggang kronik.

Kini tanggungjawab itu diteruskannya untuk menguruskan abangnya, Md Shahrizal, 33, yang terlantar akibat kemalangan jalan raya, 17 tahun lalu.

Zackry berkata, dia pernah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Institut Veterinar di Kluang, Johor, tiga tahun lalu namun terpaksa ditolak demi menjaga kedua orang tua ketika itu termasuk abangnya.

“Kini saya menguruskan abang kerana dia mengalami kecacatan fizikal yang mana kedua kaki dan tangannya menjadi bengkok akibat saraf serta tidak dapat bercakap dengan sempurna akibat kemalangan jalan raya dialaminya ketika berusia 17 tahun.

“Rutin setiap hari, saya akan memandikan abang dengan mengangkatnya ke atas papan pengusung beroda sebelum dibawa ke bilik air dan memandangkan abang terbaring atas tilam tanpa katil, agak mudah untuk saya mengangkatnya.

“Dari segi makan minum memandangkan hanya kami berdua sahaja di rumah ini, saya kerap membelinya di kedai tapi kadang-kadang ada juga yang saya masak sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Likong Limbat, Kota Bharu, baru-baru ini.

Terdahulu, mereka dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) diketuai pengerusinya, Pui Tiong Lam yang menyerahkan katil khas bersama tilam angin untuk kegunaan Md Shahrizal.

Menceritakan kejadian menimpa Md Shahrizal, Zackry berkata, abangnya dilanggar sebuah van ketika dalam perjalanan ke sekolah untuk memeriksa angka giliran, dua hari sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketika dalam rawatan, Md Shahrizal koma selama enam bulan dan kerap diserang sawan dan sejak hari itu, dia terlantar sehingga ke hari ini meskipun kaedah urutan serta fisioterapi dijalankan.

Menurutnya, disebabkan perlu menguruskan abangnya, dia tidak boleh keluar bekerja dan mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 diterima Md Shahrizal dan bantuan itu cukup untuk membeli makanan serta lampin pakai buang.

Zackry berkata, dia berasa berat hati meninggalkan abangnya tidak lama lagi kerana menerima tawaran melanjutkan pengajian ke sebuah institusi di Nibong Tebal, Pulau Pinang, awal Oktober ini.

“Tugas menjaga abang akan diserahkan kepada seorang lagi abang saya yang berada di Pengkalan Chepa kerana adik beradik lain tinggal berjauhan dan ada yang menetap di luar Kelantan.

“Saya berat hati meninggalkan abang kerana sudah bertahun saya menguruskannya tetapi dalam masa sama perlu memikirkan masa depan sendiri,” katanya.

Mereka yang mahu menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun 03001-41-00014938-6 Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Mohamed Zamani Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 1:57 PM