FARAH memangku Muhammad Harris yang mengalami masalah paru-paru dan saluran pernafasan sempit dan menggunakan mesin bantuan pernafasan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“ANAK saya semakin aktif sejak dia pandai berjalan dan berlari tetapi masih perlu menggunakan mesin bantuan pernafasan (C Pep) setiap hari untuk menyokong pernafasannya,” kata Farah Said, 29.

Farah berkata, anak bongsunya, Muhammad Harris Afif Syed Norhashimi berusia 18 bulan dikesan menghidap masalah paru-paru dan saluran pernafasan sempit sejak berusia empat bulan.

Katanya, anak ketiga dari empat beradik itu dilahirkan pra matang ketika kandungan berusia 29 minggu, namun dia terus bertahan sehingga hari ini.

“Ketika dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAS) Sungai Petani, saiznya agak kecil dan dimasukkan ke wad beberapa bulan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, tahun lalu.

“Doktor memaklumkan kes anak saya perlu dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan terpaksa berulang alik sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Buluh Penyumpit, Kuah, Langkawi, semalam.

Farah berkata, disebabkan pernafasannya yang mempunyai masalah, dia memohon mendapatkan mesin bantuan pernafasan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) cawangan Langkawi yang digunakan sehingga sekarang.

Menurut Farah, dia yang turut mempunyai masalah kesihatan tidak dapat bekerja selain perlu menjaga Muhammad Harris sepenuh masa.

“Saya perlu sentiasa memantau pergerakannya kerana bimbang tiub saluran pernafasan terbuka atau dibuka sendiri oleh Harris.

“Mesin bantuan pernafasan perlu sentiasa dipasang bagi menyalurkan oksigen kepadanya dan hanya berehat tiga jam sehari iaitu sebelah siang dan malam terutama ketika tidur,” katanya.

Farah berkata, setakat ini dia menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tidak mencukupi memandangkan perlu membawa Muhammad Harris ke HPP dua kali sebulan.

Katanya, jika bekalan elektrik terputus, dia akan menggunakan bateri untuk menghidupkan mesin berkenaan.

“Pendapatan suami, Syed Norhashimi Syed Mohamad, 28, sebagai tukang paip pula tidak menentu. Kalau ada kerja, ada la duit..itupun dapat upah RM50 sehari.

“Dua lagi anak, Norsaidatul Nafisa berusia tujuh tahun dan Harraz Darwish berusia lima tahun yang bersekolah menyebabkan perbelanjaan kami sekeluarga sememangnya tidak mencukupi,” katanya.

Katanya, Muhammad Harris juga mudah dijangkiti demam dan disebabkan itu, dia perlu sentiasa mengawasi anaknya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di nombor akaun Maybank 152077540358 milik Farah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 1:41 PM