BALAI Bomba dan Penyelamat Daro, Mukah yang siap dibina tahun ini. FOTO Arkib NSTP.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


SARAWAK memerlukan 50 balai bomba dan penyelamat (BBP) bagi menampung keperluan di negeri itu yang hampir sama dengan keluasan Semenanjung Malaysia.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata, 32 BBP sedia ada dengan empat BBP baharu yang dijangka siap pada hujung tahun, masih tidak mencukupi.

“Keadaan ini yang menyebabkan kita mengambil masa lama untuk sampai ke lokasi kecemasan berikutan BBP jauh dari tempat itu.

“Sebab itu, beberapa inisiatif lain untuk meningkatkan response time dilakukan seperti menambah bilangan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Komuniti (PBK),” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api Kepada JBPM Sarawak di Kuching, semalam yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Khirudin berkata, penubuhan PBK sedang dipergiatkan dan setakat ini terdapat 638 PBK di seluruh Sarawak dengan keahlian 6,138 orang.

“Pihak kami menjangkakan peningkatan dalam penubuhan PBK kepada 700 pasukan menjelang hujung tahun ini.

“Ahli PBK inilah yang akan membantu kawasan kejiranan sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Sementara itu, bantuan alat pemadam api itu akan membantu pihaknya dalam pencegahan awal kebakaran di rumah panjang disebabkan lokasi kebanyakan kediaman jenis itu di pedalaman.

Katanya, ia akan diagihkan segera dan dengan alatan itu, penduduk kampung dapat membantu melakukan pemadaman awal sekali gus mengurangkan risiko kerugian.

Untuk rekod, terdapat 3,977 rumah panjang berdaftar di negeri itu, manakala 353 pintu daripadanya pernah terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 1:38 PM