GAMBAR hiasan
Azzman Abdul Jamal
am@hmetro.com.my


NEGERI Sembilan sedia menghulurkan bantuan bekalan air kepada Melaka yang kini sedang berdepan krisis air sejak beberapa hari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, paras empangan di Negeri Sembilan berada pada tahap baik dan mampu menampung keperluan rakyat selain cukup untuk dikongsikan kepada beberapa lokasi terjejas di Melaka.

“Kita sedia maklum masalah air di Melaka pada masa ini agak meruncing dan ketika saya ke Melaka dua hari lalu, saya juga dimaklumkan mereka memerlukan air.

“Memang ada perjanjian untuk pastikan kita saling bantu-membantu dan Melaka sudah menggunakan air kita untuk disalurkan ke beberapa lokasi terjejas,” katanya pada sidang media Karnival Hari Malaysia 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Seremban, hari ini.

Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sebelum ini mendapatkan bantuan daripada operator air daripada beberapa negeri jiran bagi menangani krisis air di negeri itu.

Ia berikutan kemerosotan paras di empangan, kolam tadahan dan Sungai Melaka akibat purata hujan rendah menyebabkan gangguan kepada tekanan air di beberapa kawasan sekitar Melaka.

Sementara itu, Aminuddin berkata, bantuan bekalan air dari Negeri Sembilan ke Melaka dilaksanakan seperti dipersetujui menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negeri.

Menerusi MoU itu, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) akan membekalkan 12 juta liter air bersih tambahan sehari (mld) pada kadar RM1.40 untuk setiap meter padu dan perjanjian itu berkuatkuasa bermula 19 Jun lalu sehingga 31 Disember depan.

“Ini menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan rakyat Melaka dapat bekalan air dan kita berharap dengan adanya bantuan dari Negeri Sembilan, ia serba sedikit dapat membantu mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 1:29 PM