KEBAKARAN panggung wayang lama di Jalan Datu Taie, Lawas. FOTO Ihsan Bomba.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


KEMERIAHAN Pesta Lampu di Jalan Datu Taie, Lawas terganggu apabila panggung wayang lama berhampiran lokasi pesta musnah dalam kebakaran, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kejadian itu pada 9.15 malam dengan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik pasukan tiba, didapati satu blok bangunan lama menempatkan panggung wayang terbakar di bahagian atas.


ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.

“Anggota mengambil masa sejam, sehingga 10.30 malam untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke tingkat bawah dan bangunan sebelah.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu berkata, bangunan berkenaan sudah lama tidak beroperasi dan ia berkeluasan 137 meter persegi serta berlantai kayu.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 12:46 PM