KARTHIKGESAN bersama bapanya meraikan kejayaan selepas memenangi tiga anugerah utama dalam Pertandingan IIDEX 2019 di UiTM Shah Alam.
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my

BEHRANG: Pelajar Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ini sekali lagi mengharumkan nama negara apabila berjaya membolot tiga hadiah utama dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta (IIDEX) 2019 peringkat antarabangsa, semalam.

S Karthikgesan, 13, berasal dari Bandar Behrang 2020 yang juga pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu menerima Anugerah Berlian iaitu Terbaik Keseluruhan Kategori Pencipta Muda membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 bersama plak dan sijil.

Karthigesan turut menerima Anugerah Emas kategori sekolah dan tempat pertama dalam Pertandingan Produk Terbaik membawa pulang wang tunai RM500 bersama plak serta sijil dalam pertandingan disertai 682 pasukan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, kejayaan dalam pertandingan itu melalui reka cipta pasu organik yang dikenali Ecosegar-Enviro Pot Machine yang mengalami proses naik taraf supaya menjadi lebih moden dan berdaya saing.

Bulan lalu, inovasi sama menerima pingat emas dan Anugerah Best Of The Best kategori sekolah menengah dalam Pertandingan Digital Antarabangsa Reka Cipta dan Inovasi (DIIID) Johor 2019 Kali Kedua (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat.

“Sebenarnya, saya dijadualkan berlepas ke Jerman pada pertengahan bulan depan bagi menyertai Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi sempena Pameran Perdagangan Antarabangsa bagi Idea Inovasi dan Reka Cipta Baharu (iENA) yang juga pertandingan inovasi dan reka cipta kedua terbesar di dunia.

“Namun, hajat saya untuk menyertai pertandingan itu tidak kesampaian kerana tidak mendapat tajaan.

“Perasaan kecewa tidak dapat ke Jerman tetap ada setelah saya dibantu bapa (Dr S Santharasekaran) bertungkus-lumus memerah idea dan keringat menaik taraf ciptaan pasu organik itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Karthikgesan berkata, jika dahulu pasu organik dibuat secara manual iaitu menggunakan tangan tetapi selepas dinaik taraf, pasu itu direka bentuk menggunakan mesin khas bagi memperlihatkan ia lebih berdaya saing dan moden.

Sebelum ini, inovasi itu meraih Anugerah Emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta (InnEX) peringkat kebangsaan sempena Pesta Kokurikulum di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru.

Dia turut merangkul Anugerah Emas pada Pameran dan Pertandingan Inovasi, Kreativiti dan Teknologi Hijau (ITEX’19) peringkat antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Selain itu, Karthikgesan pernah menerima Anugerah Perak pada Festival Ciptaan Antarabangsa dan Inovasi Teknologi Hijau 2019 (i-Finog) di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:40 AM