Ismail (tiga kanan) memeriksa peralatan bot nelayan warga Vietnam yang ditahan dalam Ops Naga Barat dan Ops Damai. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


NELAYAN asing warga Vietnam sengaja membuang pukat ke dalam air supaya ia tersangkut pada bilah kipas dan merosakkan bot bagi mengelakkan pihak berkuasa mengambil tindakan.

Namun, taktik itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menahan dua bot dan 33 nelayan asing menerusi Op Naga Barat dan Op Damai pada jarak 100 dan 99 batu nautika dari muara Tok Bali, Pasir Puteh kelmarin.

Pemangku Pengarah Maritim Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, operasi 7.22 pagi dan 4.37 petang oleh Kapal Maritim Jujur (KM Jujur) diketuai Pegawai Memerintah, Leftenan Komander Maritim Tan Ah Bik menahan dua bot dan nelayan warga Vietnam berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Katanya, pihaknya turut merampas 400 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan dan 500 kg baja ikan serta dua bot dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta.

“Pemeriksaan bot pertama mendapati 18 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berada dalam bot yang menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan dan dicat warna baru untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Nelayan asing ini mengecat bot mereka di tengah laut bagi menyerupai bot tempatan untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadap mereka.

“Dalam bot kedua, terdapat 15 awak-awak termasuk tekong,” katanya dalam sidang media di Jeti APMM Tok Bali hari ini.

Beliau berkata, semua nelayan Vietnam tidak mempunyai kad pengenalan diri sah dan tekong gagal mempamerkan dokumen bot.

Menurutnya, semua nelayan dan bot dibawa ke Jeti APMM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 bagi awak-awak dan RM1 juta bagi tekong atau penjara tidak melebihi dua tahun jika gagal bayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 1:02 AM