Jamaiah menunjukkan rumahnya yang roboh di Kampung Pontian Besar. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki
am@hmetro.com.my


“SAYA hanya mampu berdoa memohon perlindungan Allah SWT apabila rumah tiba-tiba runtuh,” kata ibu tunggal, Jamaiah Abdullah, 59, mangsa rumah roboh di Kampung Pontian Besar, Pontian kelmarin.

Menurutnya, dia yang tinggal seorang diri selepas suami Fuad Abdullah meninggal dunia lima tahun menggigil dan hanya mampu menutup kepala dengan tangan kerana bimbang kayu atau bumbung menimpanya.

“Pada masa sama, saya hanya mampu berdoa memohon perlindungan Allah SWT daripada ditimpa bencana.

“Ketika itu, air pasang serta arus deras melanda kampung mengakibatkan rumah yang diduduki sejak 40 tahun lalu roboh dan musnah,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku 8.30 malam ketika dia berada di ruang tamu sebelum terasa rumah bergegar disusuli pelbagai bunyi benda jatuh.

“Ketika itu, saya tiada sebarang alat perlindungan dan hanya menggunakan kedua-dua tangan menutup kepala.

“Rumah roboh serta-merta dan saya dikelilingi pelbagai barangan termasuk kayu, bumbung serta peralatan rumah namun syukur Allah SWT melindungi saya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ibu kepada dua anak dan seorang cucu itu berkata, kini dia terpaksa menumpang dengan saudara terdekat.

“Saya berniaga kecil-kecilan menjual kuih dan kejadian ini menyebabkan semua peralatan memasak musnah.

“Saya kini tinggal sehelai sepinggang, semua pakaian tertimbus dalam timbunan kayu dan lumpur, mujurlah penduduk termasuk ketua kampung menghulurkan bantuan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pontian Besar, Kawasan 1, Mukim Api-Api, Hashim Sarnat ketika dihubungi berkata, pihaknya simpati dengan mangsa yang kehilangan rumah sekelip mata.

“Saya akan mengajukan masalah ini kepada pihak yang berkenaan supaya Jamaiah mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 12:20 AM