Dr Mahathir bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan hadiah Kejohanan TPBR. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad berharap Kejohanan The Putrajaya Boat Race (TPBR) dapat dijadikan acara tahunan sekali gus mempromosikan Tasik Putrajaya sebagai hab sukan dan rekreasi air utama di negara ini.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu kejohanan itu dikenali pelancong luar negara dan tempatan dan pada masa sama menjadi destinasi tarikan baru pelancongan di Putrajaya.

“Sejak Putrajaya mula dibangunkan, saya mencadangkan diadakan ‘bot race’ tapi entah macam mana ia tidak mendapat sambutan.

“Jadi, saya paksa supaya dianjurkan kejohanan itu tahun ini. Kebiasaannya, lumba bot menggunakan perahu. Di Kedah, setiap kali ulang tahun kelahiran Tuanku, kita ada lumba bot.

“Penganjuran lumba bot ini juga diadakan untuk mewujudkan tradisi lumba bot seperti dianjurkan di London, Amerika Syarikat dan Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pertandingan akhir lumba bot kategori universiti lelaki di Putrajaya hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.


Peserta Lelaki UPM menjuarai Kejohanan TPBR. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Terdahulu, Dr Mahathir bersama kenamaan lain menaiki Cruise Tasik di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) sebelum menyaksikan pelepasan bagi pertandingan akhir lumba bot kategori universiti (lelaki) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Pertandingan akhir itu bermula di tasik berhampiran YKP dan berakhir di jeti Kelab Tasik Putrajaya membabitkan jarak 3.8 kilometer (km).

Perlumbaan itu dimenangi UPM sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,500.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga mahu pihak media mempromosikan pertandingan bot itu sekali gus membantu menarik kedatangan pelancong asing dan tempatan ke Putrajaya.

Sementara itu, Dr Aminuddin berkata, pertandingan lumba bot itu adalah hasil cetusan Dr Mahathir yang mahu melihat Tasik Putrajaya dijadikan hab sukan dan rekreasi air utama di negara ini.

“Pertandingan ini disertai 14 pasukan membabitkan tujuh kategori utama iaitu universiti (lelaki dan wanita); pasukan beruniform; pihak berkuasa tempatan dan sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 8:31 PM